Tuesday, October 21, 2008

KATEGORI BERMASALAH PEMBELAJARAN

2. SEREBRAL PALSI


Palsi Serebrum (Cerebral Palsy)

Istilah serebrum merujuk kepada otak manakala palsi pula bermaksud gangguan terhadap pergerakan ataupun poster. Orang yang mengalami serebrum palsi bermaksud mereka tidak dapat menggunakan sebahagian daripada otot di dalam badan mereka dalam keadaan normal, akibat kerosakan dalam otak.

Kebiasaannya, kerosakan ini berlaku sebelum, semasa ataupun selepas kelahiran, disebabkan oleh otak yang tidak berkembang dengan baik ataupun berlaku perkara yang membawa kepada kerosakan otak yang sedang berkembang seperti kecederaan ataupun kekurangan oksigen. Pendarahan di dalam otak ataupun jangkitan menyebabkan berlakunya palsi serebrum. Ada kalanya kanak-kanak yang dilahirkan normal tetapi mengalami jangkitan dalam otak ataupun trauma membawa kepada palsi serebrum. Keadaan ini menjejaskan tona otot iaitu tahap ketegangan otot yang mengganggu pergerakan spontan dan melambatkan perkembangan motor kasar dan motor hales.

Palsi serebrum bukan perkara yang dapat diubati walaupun pendidikan, terapi dan teknologi dapat membantu individu yang mengalaminya menjalani kehidupan yang produktif. Walaupun begitu, perlu diketahui palsi serebrum bukan satu jenis penyakit, malah ia tidak berjangkit dan tidak menjadi lebih teruk. Kanak-kanak yang dilahirkan dengan palsi serebrum terus mengalaminya sepanjang hayat mereka.

Palsi serebrum adalah berkaitan dengan ketidakupayaan fungsi kawalan motor, terutamanya kawalan otot dan koordinasi. Bergantung pada bahagian otak yang rosak, satu ataupun lebih daripada yang berikut berlaku:

Ketegangan otot
Pergerakan tanpa diarah
Gangguan dalam mobility
Sensasi dan persepsi yang abnormal
Kecacatan dalam penglihatan, pendengaran dan pertuturan
Sakit secara tiba-tiba

Punca

Seperti yang dinyatakan, palsi serebrum berlaku akibat kerosakan otak. Persoalannya bagaimanakah kerosakan otak itu dapat berlaku? Terdapat pelbagai kemungkinan jawapan bagi soalan itu. Kerosakan otak berlaku sebelum, semasa ataupun selepas lahir. Terdapat dua masalah yang menyebab­kan kerosakan otak yang membawa kepada palsi serebrum iaitu:

Kegagalan otak untuk berkembang dengan baik.
Kerosakan saraf di dalam otak bayi yang sedang berkembang.

Tahap kerosakan otak biasanya bergantung pada jenis dan masa kecederaan itu berlaku. Bagi bayi pramatang ataupun dilahirkan tidak cukup bulan, pendarahan ke dalam otak boleh menyebabkan kerosakan yang teruk. Lagi lama bayi di dalam kandungan tidak mendapat oksigen, lebih besar peluangnya untuk mendapat kerosakan dalam tisu otak.



Jenis palsi serebrum

Terdapat tiga jenis palsi serebrum yang utama iaitu:

Palsi serebrum spastik: Ketegangan otot adalah pada tahap abnormal yang tinggi dan meningkat semasa menjalankan aktiviti. Otot dan sendi adalah ketat dan kaku serta pergerakan adalah terhad.
Palsi serebrum athetosis: Ketegangan otot berubah secara konstan atau malar, biasanya daripada ketegangan normal ke tahap tinggi. Tiada koordinasi daripada segi pergerakan dan tidak terkawal.
Palsi serebrum ataxia: Masalah yang teruk daripada segi imbangan dan koordinasi.

Sesetengah kanak-kanak mungkin mengalami satu jenis palsi serebrum ataupun kombinasi daripada beberapa jenis yang dinyatakan di atas. Bentuk dan tahap dalam pergerakan fizikal adalah berbeza antara kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain, malah bahagian badan yang terlibat juga berbeza. Terdapat kanak-kanak yang mengalami kecacatan ini di satu bahagian badan sahaja iaitu di satu tangan dan satu kaki, yang dinamakan sebagai hemiplegia. Bagi kanak-kanak yang mengalaminya pada keseluruhan badan tetapi keadaan kaki lebih teruk daripada tangan, dinamakan diplegia. Manakala yang mengalami di keseluruhan anggota badan baik badan mahupun kedua-dua tangan dan kaki, dinamakan quadriplegia.

































Implikasi

Masalah lain yang timbul akibat kecacatan ini termasuk masalah pembelajaran, terencat akal, epilepsi, masalah pertuturan, kesukaran untuk makan, masalah deria dan lain-lain. Kanak-kanak yang mengalami palsi serebrum yang ringan memerlukan ahli terapi bagi membantu mereka memperkembangkan kemahiran motor yang lebih baik.

Manakala bagi mereka yang mengalami masalah ini pada peringkat sederhana, memerlukan lebih banyak masa dan usaha bagi memastikan mereka melibatkan diri dalam aktiviti yang dirancang. Mereka dapat berjalan tetapi dalam kadar yang lambat berbanding kanak-kanak normal. Di samping itu mereka juga memerlukan kerusi roda dan peralatan lain bagi membantu mereka bergerak. Bagi kanak-kanak dalam kategori teruk, bantuan dalam aktiviti kehidupan seharian diperlukan. Biasanya mereka tidak dapat berjalan, berdikari ataupun bercakap. Oleh itu pembelajaran bagi mereka adalah dengan melihat dan mendengar. Disebabkan mobiliti mereka yang terhad, kedudukan mereka perlu diubah dari semasa ke semasa. Kanak-kanak palsi serebrum juga mungkin turut mengalami masalah lain seperti masalah penglihatan, pendengaran ataupun pembelajaran.

Namun begitu, hampir 40% kanak-kanak palsi serebrum ini mempunyai kebolehan kognitif yang normal ataupun lebih baik daripada kanak-kanak yang sebaya dengannya. Ini menunjukkan ketidakupayaan fizikal dan komunikasi yang ada pada mereka tidak bermakna mereka mengalami terencat akal.
Tanda-tanda awal

Apabila kanak-kanak mengalami kerosakan otak, pelbagai gejala yang ditunjukkan boleh membuatkan para doktor dan ibu bapa dapat membuat andaian sesuatu yang tidak kena sedang berlaku terhadap kanak-kanak itu. Dalam beberapa bulan pertama kelahiran, bagi dengan kerosakan otak mungkin menunjukkan gejala di bawah:

Kelihatan lesu dan kurang sedar.
Tidak selesa dan sukar dijaga.
Abnormal, sering menangis dengan kuat.
Tangan dan kaki menggeletar.
Sukar menghisap dan menelan.
Ketegangan otot yang rendah.
Postur yang abnormal, suka mengiring sebelah badan sahaja.
Diserang sakit yang tiba-tiba.
Mata selalu berkelip-kelip.
Badan tersentak-sentak. Refleks yang abnormal.

Dalam tempoh enam bulan pertama, tanda-tanda yang berkaitan dengan kerosakan otak juga dapat dilihat dalam ketegangan otot dan postur bayi, seperti:

Ketegangan otot mungkin berubah perlahan-lahan daripada ketegangan yang rendah kepada ketegangan yang tinggi hingga ia menjadi kaku.
Bayi mungkin menggenggam tangannya.
Mungkin berlaku pergerakan simetri, iaitu satu bahagian badan dapat bergerak dengan lebih mudah berbanding bahagian sebelah lagi.
Bayi mungkin menghadapi kesukaran untuk makan kerana lidahnya menolak makanan keluar.

Apabila bayi yang mengalami kerosakan otak mencapai umur enam bulan, biasanya kemahiran pergerakan bagi bayi itu menjadi sangat lambat, seperti menggulingkan badan, merangkak, duduk, berdiri, berjalan dan bercakap. Biasanya ibu bapa dapat mengesan kelambatan ini serta tingkah laku yang abnormal dan menyatakan kebimbangan mereka kepada pakar perubatan. Kebiasaannya para profesional tidak menggunakan istilah palsi serebrum pada peringkat awal. Mereka menggunakan istilah berikut:

Perkembangan lambat dalam perkembangan bayi normal
Perkembangan lambat dalam sistem saraf
Ketidakupayaan motor

Para profesional tidak terus melabelkan bayi sebagai bayi palsi serebrum kerana biasanya dalam sistem saraf bayi, ia mampu untuk sembuh apabila berlakunya kecederaan. Otak kanak­-kanak mempunyai peluang yang besar untuk pulih berbanding otak orang dewasa. Jika kecederaan otak berlaku awal, bahagian-bahagian otak yang tidak terlibat dapat mengambil alih fungsi bahagian otak yang rosak. Ini membolehkan kanak-kanak yang mungkin mengalami kecacatan motor tertentu, berjaya ataupun berkembang dengan baik dalam kemahiran motor yang lain.

Ini menunjukkan berdasarkan tanda awal, diagnosis tidak dapat dijalankan dalam masa yang singkat. Perkembangan bayi ataupun kanak-kanak itu perlu dipantau oleh kumpulan pelbagai disiplin yang pakar dalam bidang masing-masing. Mereka menjalankan penilaian dan menganalisis kekuatan dan keperluan bayi itu. Apa yang dapat dipastikan, kebiasaannya palsi serebrum tidak menjadi semakin teruk daripada keadaan yang dialami.



Keperluan pembelajaran ataupun latihan

Penilaian multi disiplin adalah penting bagi memastikan semua aspek palsi serebrum diambil kira semasa merancang rancangan pendidikan kanak-kanak itu. Keperluan pem­belajaran bagi kanak-kanak dalam kategori ini merangkumi pelbagai aspek dengan panduan berikut:

Tahap kecacatan dan kesulitan yang wujud perlu diambil kira dalam semua aspek seperti kognitif, fizikal, motor, pertuturan, penglihatan, pendengaran, persepsi dan tingkah laku.
Perhatian perlu diberi terhadap aspek motor seperti koordinasi dan kawalan motor kerana ini semua mempengaruhi perkembangan pembelajaran amnya bagi kecacatan motor. Bantuan mungkin melibatkan pe­nunjuk kepala (head pointers), kerusi roda individu, alat bantuan elektronik, dan pelbagai peralatan yang diubah suai.
Program khusus bagi bahasa adalah penting jika berlaku masalah pertuturan, dengan sokongan teknologi maklumat dan komunikasi.
Terapi fizikal perlu dimasukkan dalam program harian.
Penilaian berterusan adalah penting bagi keperluan keupayaan kanak-kanak palsi serebrum, seiring dengan perkembangan rawatan perubatan, terapi dan peng­ajaran.

Banyak rawatan yang dapat diberi bagi membantu kanak‑kanak mencapai tahap kefungsian semaksimum mungkin. Memandangkan tidak semua kanak-kanak mengalami palsi serebrum yang sama, program rawatan secara individu adalah berbeza antara satu sama lain.

Disebabkan semua kanak‑kanak palsi serebrum mengalami masalah berkaitan pergerakan, oleh itu rawatan utama bagi mereka ialah program latihan terapeutik. Bergantung pada keperluan kanak-kanak itu, profesional pelbagai disiplin bersama­sama membantu kanak-kanak itu iaitu ahli fisioterapi, ahli terapi cara kerja dan patologi pertuturan. Kanak-kanak yang menerima rawatan yang terbaik bukan sahaja mengalami batasan pergerakan yang minima tetapi juga memperoleh postur, perkembangan otot dan keupayaan bagi mengurus diri dalam kehidupan seharian.

No comments: